Lori pasir hilang kawalan rempuh tiga kenderaan

PETALING JAYA: Tiga kereta rosak teruk selepas dirempuh lori pasir seberat 22 tan yang hilang kawalan di Jalan Bukit Permai, Ampang, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah hari itu, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pemandu dan penumpang ketiga-tiga kereta itu hanya mengalami cedera ringan dan sedang dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Ampang.

Kata beliau, siasatan awal mendapati, kemalangan itu berlaku semasa lori berkenaan dari arah Hulu Langat menghala ke Ampang.

“Lori pasir berkenaan dipercayai hilang kawalan kerana dipercayai brek lori tidak berfungsi ketika menuruni Bukit Permai sebelum melanggar tiga kereta yang berhenti di lampu isyarat.

“Akibat kejadian itu juga menyebabkan lori berkenaan terbabas melanggar pembahagi jalan dan masuk ke jalan arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Farouk memberitahu kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta untuk tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ampang Jaya Inspektor Navine Gunasegaran di talian 012-6436327,” jelasnya. – UTUSAN

The post Lori pasir hilang kawalan rempuh tiga kenderaan appeared first on Utusan Digital.