Kecederaan Mbappe cetus resah kem PSG

METZ – Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino berharap ­Kylian Mbappe tidak mengalami kecederaan serius yang boleh menyebabkan dia terlepas aksi separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Manchester City pada Khamis ini.

Mbappe, 22, terpaksa dikeluarkan pada lewat permainan ketika PSG menewaskan FC Metz 3-1 di Stade Saint-Symphorien kelmarin yang menyaksikan penyerang prolifik Perancis itu berjaya meledak dua gol dalam aksi Ligue 1 tersebut.

“Kami sangat berharap tahap kecederaannya tidak serius. Dia kelihatan tenang sewaktu dikeluarkan tetapi jenis kecederaan seperti itu walaupun cuma hentakan kecil kadang-kadang menyakitkan,” kata Pochettino.

Mbappe meledak dua gol buat PSG seawal minit keempat dan 59 sebelum Mauro Icardi memastikan tiga mata menjadi milik juara Perancis.

Ia menyaksikan Mbappe sudah meledak 25 gol dalam 29 aksi Ligue 1 dengan ke­seluruhan 37 jaringan daripada 42 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini.

Kecemerlangan itu membolehkan PSG terus berada pada landasan tepat untuk mempertahankan gelaran Ligue 1 yang menjadi buruan tiga lagi pasukan iaitu Lille, AS Monaco dan Olympique Lyon. – AGENSI

The post Kecederaan Mbappe cetus resah kem PSG appeared first on Kosmo Digital.