“Kalau jatuh bot, mesti aku lemas” – Zulshahmin

KOTA BHARU – Seorang lagi mangsa bot karam pada Jumaat lalu di perairan Kuala Besar, Zulshahmin Danial Zulazman, 26, yang masih belum dijumpai pernah bergurau bahawa dia pasti akan lemas sekiranya jatuh dari bot.

Gurauan itu pernah diluahkan oleh mangsa kepada rakannya, Mohd. Ab. Haq Mohd. Azmi, 33, sebulan lalu ketika mereka bersama-sama sedang membaiki bot fiber milik bapa saudaranya.

Menurut Mohd. Ab. Haq, mangsa menyatakan gurauan itu kerana dia sememangnya tidak pandai berenang.

“Saya rapat dengannya dan tidak pernah mengambil gurauan itu sebagai satu perkara yang serius sehingga kejadian berlaku pada malam Jumaat lalu.

“Zulshahmin merupakan seorang yang mudah mesra, peramah dan suka bergurau. Saya memang terkejut dengan kejadian menimpanya dan semua orang berharap dia dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di jeti Kuala Besar di sini hari ini.

Sementara itu, menurut seorang lagi rakan mangsa, Muhammad Firdaus, 32, iaitu anak mangsa terselamat, Mat Awang @Jali, 54, berkata, mangsa memang tidak pandai berenang, namun dia minat turun ke laut untuk mencandat sotong.

“Saya terkilan jika dia terkorban dalam kejadian ini. Bagaimanapun, rakan-rakannya reda dengan ketentuan ilahi dan masih berharap dia ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, tiga nelayan, Mat Harun Mohd. Nor, 55, Mat, dan Zulshahmin Danial Zulazman, 26, dilaporkan hilang selepas bot fiber yang dinaiki mereka ketika turun ke laut untuk mencandat sotong terbalik pada jarak 19 kilometer dari Kuala Besar di sini.

Kejadian itu berlaku pada pukul 8.30 malam ketika ribut dan hujan lebat. Operasi mencari dan menyelamat Zulshahmin masih giat dijalankan. – K! ONLINE

The post “Kalau jatuh bot, mesti aku lemas” – Zulshahmin appeared first on Kosmo Digital.