Dua sindiket dadah RM17.75juta tumpas

SHAH ALAM – Dua sindiket penyeludupan dan pemprosesan dadah yang aktif dua bulan lalu tumpas dengan merampas dadah bernilai RM17.75juta dalam 10 serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, minggu lalu.

Dalam serbuan Selasa dan Rabu lalu di sekitar Kajang, Pandamaran dan Rawang itu menahan 17 ahli sindiket termasuk empat warga Bangladesh berusia 24 hingga 47 tahun.

Turut dirampas dua alat pengewapan pemprosesan dadah dan sebuah ketuhar besar untuk tujuan pengeringan dadah.

Timbalan Ketua Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, menerusi operasi pertama di Kajang dan Pandamaran membongkar modus operandi sindiket dengan menyeludup masuk bekalan dadah ke negara ini dari selatan Thailand melalui jeti haram di Kelantan.

Katanya, sindiket kemudiannya akan menggunakan perkhidmatan kontena dan parcel melalui jalan laut serta udara untuk menyeludup dadah ke luar negara.

“Berdasarkan tujuh serbuan dalam operasi pertama ini merampas 354 slab heroin base seberat 134 kilogram (kg) dan 101 bungkusan plastik berisi syabu seberat 104 kg.

“Dadah itu bernilai RM15.2 juta,” katanya pada sidang akhbar di di sini hari ini.

Kosmo! difahamkan bungkusan plastik itu akan dieksport ke Australia.

Kata Acryl Sani, operasi kedua pula melibatkan sebuah makmal haram memproses dadah dengan merampas 22 kg dan 37.15 kg cecair masing-masing ketamin diangarkan RM2.35juta.

Tambah beliau, siasatan mendapati kedua-dua sindiket beroperasi sejak Februari lalu dengan keseluruhan dadah dirampas boleh digunakan oleh 9.7 juta penagih dadah.

“Hasil ujian air kencing mendapati lima dari kesemua suspek didapati positif ketamin selain dua juga mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kita turut menyita RM1.07 juta dengan melibatkan 10 buah kereta, empat motosikal, wang tunai, barang kemas dan akaun bank,” jelasnya.

Acryl Sani menegaskan, kesemua mereka kini direman antara sehari hingga tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 92 sindiket dadah berjaya ditumpaskan dengan rampasan melibatkan 12 tan dadah bernilai RM343 juta dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

“Ini berbanding sepanjang tahun lalu 305 sindiket dadah dengan penangkapan 1,204 orang selain rampasan dadah berjumlah 14 tan bernilai RM405 juta,” katanya – K!ONLINE

The post Dua sindiket dadah RM17.75juta tumpas appeared first on Kosmo Digital.