Dua bot nelayan Vietnam ditahan

MERSING – Dua bot nelayan Vietnam bersama 19 kru ditahan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing selepas menceroboh perairan negara di kedudukan 10 batu nautika timur laut dari Pulau Pemanggil di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, kesemua kru termasuk seorang tekong berumur 18 hingga 52 tahun itu ditahan pada pukul 2 pagi.

Mereka ditahan dalam satu ops bersepadu bersama Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Malaysia.

“Kedua-dua buah bot ditahan kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran manakala kesemua 19 kru pula ditahan kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia.

“Kes turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya kedua-dua bot serta 19 kru diiringi masuk ke Jeti APMM Pos teluk Gading untuk siasatan lanjut.

Tambahnya kesemua tahanan juga akan menjalani saringan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga dalam membendung penularan wabak yang sedang melanda.-K! ONLINE

The post Dua bot nelayan Vietnam ditahan appeared first on Kosmo Digital.