Bazar Aidilfitri sesak diberi notis amaran

SEBERANG PERAI – Penganjur sebuah bazar Aidilfitri di Bertam, Kepala Batas di sini diberikan notis amaran oleh pihak berkuasa selepas didapati sesak dan gagal mengawal jumlah kehadiran pengunjung malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, menerusi pemeriksaan bermula pukul 9 malam itu, pihaknya mendapati kira-kira 300 pengunjung hadir.

“Hasil pemantauan, kita mendapati pihak penganjur mengadakan kawalan laluan keluar dan masuk, namun gagal mengawal jumlah kemasukan dan kepadatan pengunjung di dalam tapak karnival.

“Satu notis amaran dikeluarkan oleh wakil Kementerian Kesihatan dan satu notis menghendaki kacau ganggu dihapuskan dikeluarkan wakil Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun berpuas hati apabila penganjur mengambil bacaan suhu, menyediakan cecair pembasmi kuman, penjarakan fizikal, rekod pengunjung, sanitasi premis, pemakaian pelitup muka dan aplikasi My Sejahtera. – K! ONLINE

The post Bazar Aidilfitri sesak diberi notis amaran appeared first on Kosmo Digital.