20 sekolah di Pulau Pinang ditutup dua hari

GEORGE TOWN – Sebanyak 20 buah sekolah di negeri ini ditutup selama dua hari bermula hari ini ekoran terdapat kes positif Covid-19 dikesan di sekolah berkenaan.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, pelajar di kesemua sekolah yang ditutup itu perlu mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Kesemua sekolah itu ditutup hari ini dan esok bagi membolehkan proses sanitasi dijalankan.

“Kemudian pihak sekolah akan menjalankan penilaian sama ada tindakan lain seperti meneruskan penutupan sekolah perlu dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan sekolah yang ditutup ekoran terdapat kes Covid-19 itu melibatkan sekolah rendah dan sekolah menengah di kawasan pulau dan Seberang Perai.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan nama-nama sekolah berkenaan. – K! ONLINE

The post 20 sekolah di Pulau Pinang ditutup dua hari appeared first on Kosmo Digital.