United, Leeds sama kuat

LONDON – Pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United gagal meneruskan merapatkan jurang dengan pendahulu liga selepas seri 0-0 pada aksi di Stadium Elland Road sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, The Red Devils yang dikendalikan oleh Ole Gunnar Solksjaer telah membariskan kesebelasan terkuat dengan meletakkan Marcus Rashford, Mason Greenwood dan Bruno Fernandes di jentera serangan.

Bagaimanapun, barisan pemain United dilihat buntu untuk mencipta serangan dengan setiap asakan mudah dipatahkan oleh benteng skuad tuan rumah yang dibimbing oleh Marcelo Bielsa.

Peluang terbaik United hadir menerusi rembatan Fernandes pada babak kedua tetapi percubaannya sedikit tersasar.

Solksjaer cuba melalukan perubahan taktikal dengan memasukkan Paul Pogba dan Edinson Cavani pada penguhujung saingan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan itu juga menyaksikan United kini akur dengan 67 mata selepas mengharungi 33 perlawanan dengan perbezaan 10 mata dengan pendahulu liga, Manchester City. – AGENSI

The post United, Leeds sama kuat appeared first on Kosmo Digital.