Segerakan pemberian 150,000 komputer riba kepada pelajar sekolah

PETALING JAYA: Ekoran beberapa sekolah ditutup kerana penularan Covid-19, kerajaan digesa untuk menyegerakan pemberian 150,000 komputer riba kepada pelajar seperti diluluskan dalam Belanjawan 2021.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, pemberian itu kini dilihat wajar dan penting kepada keluarga B40 dan anak-anak warga pendidik di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk di Kelantan.

Menurut Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, kerajaan perlu memberikan insentif khas kepada  kepada para guru untuk pembelian data dan alat bantuan mengajar demi memudahkan urusan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh PKP.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar harus segera bekerjasama memastikan kawasan yang tiada atau lemah capaian internet disegerakan kemasukan infrastruktur yang membolehkan murid dan guru menikmati capaian internet untuk tujuan PdPR.

“Tindakan proaktif dan segera mestilah dilakukan demi mengelakkan anak-anak dari keluarga miskin terus tercicir daripada pelajaran mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Maszlee, situasi PKP dan PKPD di sesetengah negeri dan kawasan telah memaksa sekolah ditutup hingga menyebabkan anak-anak keluarga B40 dan kawasan pedalaman berhadapan gangguan pembelajaran.

“PdPR yang dilaksanakan tidak bererti bila mana ramai di antara keluarga B40 tidak mempunyai peranti yang cukup. Hal sama juga menimpa mereka yang tinggal di kawasan yang tiada ataupun lemah capaian internet.

“Bagi para guru, sekali lagi mereka terpaksa berbelanja lebih untuk membelikan peranti tambahan bagi anak-anak mereka yang juga terpaksa mengikuti PdPR. 

“Mereka juga terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk membeli data tambahan dan dalam sesetengah keadaan yang tiada capaian internet, mereka pula terpaksa mengedarkan latihan dan kertas aktiviti untuk kegunaan murid menggunakan duit mereka sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

The post Segerakan pemberian 150,000 komputer riba kepada pelajar sekolah appeared first on Utusan Digital.