PKPD di lima lokaliti di Besut dilanjut sehingga 4 Mei

PETALING JAYA – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti di Mukim Hulu Besut, Besut, Terengganu dilanjutkan sehingga 4 Mei depan selepas ia dijadualkan tamat Selasa ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lima kawasan yang terlibat adalah Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan Felcra Keruak.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD dengan 22 kes positif Covid-19 sedang dirawat.

“Terdapat 160 sampel yang sedang menunggu keputusan. Setakat ini, sebanyak 107 kes positif Covid-19 telah direkodkan melibatkan kesemua lokaliti tersebut hasil 2,077 ujian saringan yang telah dilaksanakan oleh KKM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan akan melaksanakan PKPD Kampung Dambai Inanam, Kota Kinabalu, Sabah bermula esok sehingga 9 April depan.

Menurut beliau, KKM melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di kampung berkenaan hari ini.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 74 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak enam kes positif Covid-19 telah direkodkan dalam tempoh seminggu.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar,” ujarnya. – K! ONLINE

The post PKPD di lima lokaliti di Besut dilanjut sehingga 4 Mei appeared first on Kosmo Digital.