Laksana segera gencatan politik

SAUDARA PENGARANG,

HARI demi hari kita dihidangkan dengan bermacam-macam polemik, konflik, tuduh-menuduh dan kecaman pelbagai parti politik di tanah air. Keadaan nampak semakin kusut dan berkecamuk terutama berkaitan gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Perpecahan dan perseteruan seakan-akan sukar ditamatkan. Syak wasangka dan kebencian seperti menjadi norma baharu yang memualkan. Jika dibuka naskhah media cetak dan media elektronik, apatah lagi dalam media sosial, keadaan kelihatan meruncing.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang baru selesai tidak mencerahkan keadaan. Nafas dan aroma dendam dan kebencian kedengaran di sana sini. Sangat kurang suara perdamaian, penyatuan dan kebijaksanaan.

Lebih jauh lagi, sangat kurang kedengaran idea-idea membela nasib agama, bangsa dan tanah air. Bagaimana nasib rakyat bawahan mahu dibela pada era Covid-19? Apa agenda pemerkasaan ummah dan ke mana mereka hendak dibawa mendepani pelbagai cabaran meniti zaman getir?

Sewajarnya Ramadan yang bakal tiba dapat membuka minda dan nurani para pemain politik, agar menjulang kewarasan, ketenangan dan kebijaksanaan. Hentikan perbalahan dan bertikam lidah yang tidak henti-henti.

Bawalah penyokong masing-masing menghayati seruan Rasulullah SAW agar bulan berkat ini dihayati dengan mencambah cahaya keimanan, mengisi rohani dengan ketakwaan dan melakukan gencatan politik.

Buang keegoan dan keangkuhan yang mungkin telah bersarang bahawa parti sayalah yang terbaik, pemimpin saya yang terbaik, di sana pengkhianat dan di sini harapan segala-galanya.

Di dalam parti masing-masing, ada ramai cendekiawan agama yang mampu memandu penggiat politik masing-masing. Mereka perlu bangkit menjadi suara damai, bukan suara permusuhan.

Hayati maksud ayat al-Quran yang menyeru kita supaya bersatu, berpegang kepada tali Allah dan meneladani perkara yang baik. Masih belum terlambat untuk melakukan anjakan paradigma.

Selamatkan bangsa dan negara kita agar dapat melangkah lebih gagah di tengah-tengah ketidaktentuan politik, ekonomi dan sosial sekarang.

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor

The post Laksana segera gencatan politik appeared first on Utusan Digital.