Produk terlarang termasuk suntikan bina badan dirampas

PUTRAJAYA – Kira-kira 105 produk bernilai lebih RM800,000 melibatkan jenis ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dirampas dalam pemeriksaan dijalankan di tiga premis di Ipoh, Perak.

Rampasan tersebut dijalankan dalam operasi dan pemeriksaan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak pada 5 April lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat penjualan keluaran produk tersebut secara runcit oleh pemilik premis terbabit.

“Semua premis berkaitan disyaki merupakan salah satu rangkaian pengedar terbesar keluaran produk tersebut ke pasaran di sekitar negeri Perak.

“Produk yang dirampas merangkumi pelbagai jenis produk termasuk produk bina badan tidak berdaftar serta mengandungi racun antaranya yohimbine dan hormon testosterone. Rampasan ini juga merangkumi produk suntikan untuk bina badan,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, hormon testosterone dikategorikan sebagai racun terkawal dan hanya boleh diambil atas nasihat doktor dan ahli farmasi.

“Hormon testosterone kerap disalahgunakan oleh individu untuk tujuan membina otot badan,” katanya.  – K! ONLINE.

The post Produk terlarang termasuk suntikan bina badan dirampas appeared first on Kosmo Digital.