Nestle labur RM150 juta bina fasiliti PBMS

SHAH ALAM – Nestle (Malaysia) Bhd. (Nestle Malaysia) telah melabur sebanyak RM150 juta untuk projek pembinaan kilang Penyelesaian Makanan Berasaskan Tumbuhan (PBMS), sebuah fasiliti menghasilkan produk ­berasaskan tumbuhan pertama di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, peruntukan tersebut telah menjadi penyumbang utama kepada perbelanjaan modal berjumlah RM280 juta tahun lalu, iaitu perbelanjaan tertinggi dalam tempoh enam tahun.

Menurut beliau, syarikat mula melabur dalam segmen tersebut di bawah jenama Harvest ­Gourmet sebagai pilihan alternatif kepada rakyat Malaysia yang ­mengutamakan produk makanan bukan daging.

“Sebanyak tiga produk makanan yang berasaskan soya, gandum, lobak merah dan tumbuhan lain bakal dilancarkan di bawah jenama tersebut secara berperingkat pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pe­rasmian PBMS di Kompleks Perindustrian Nestle Malaysia di Seksyen 15 di sini semalam.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli merasmikan kilang tersebut sambil diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Aranols menjelaskan, kilang berkeluasan kira-kira 6,000 meter persegi itu telah beroperasi sejak awal tahun ini.

Tambah beliau, fasiliti kilang tersebut dilengkapi mesin pemprosesan terkini yang mampu menghasilkan produk makanan berasaskan tumbuhan sebanyak 8,000 tan setahun bagi pasaran tempatan dan eksport.

“Kami memilih Malaysia sebagai lokasi hab pembuatan produk baharu ini kerana Malaysia menawarkan infrastruktur dan tenaga mahir yang diperlukan.

“Dengan adanya PBMS, kami mampu membekalkan makanan berasaskan tumbuhan keluaran tempatan yang berkualiti tinggi, lazat dan halal,” katanya.

Menurut Aranols, Nestle me­ngunjurkan pendapatannya me­ningkat dalam tempoh lima tahun dengan pengenalan jenama Harvest Gourmet.

The post Nestle labur RM150 juta bina fasiliti PBMS appeared first on Kosmo Digital.