MARA bantu 1,000 usahawan mikro

KUALA LUMPUR: Majlis Ama­nah Rakyat (MARA) menawarkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM50 juta menerusi Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) dengan sasaran membantu lebih 1,000 usahawan mikro bumiputera terutama yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, kemudahan pembiayaan perniagaan itu sebagai satu medium pemudah cara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro bumiputera untuk terus berdaya tahan dalam persekitaran tidak menentu ini.

Jelasnya, semua usahawan mikro di negara ini boleh memohon pinjaman secara one-off dengan had pembiayaan sehingga RM50,000.

“Skim ini diperkenalkan bagi memastikan peruntukan kerajaan sebanyak RM50 juta yang diterima menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat (Pemerkasa) dimanfaatkan sepenuhnya, sekali gus merancak dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi.

“Tempoh pembiayaan adalah sehingga 72 bulan dan tidak memerlukan sebarang cagaran atau jaminan. Kita juga menyediakan pelbagai sokongan perniagaan antaranya nasihat perniagaan, dan kursus peningkatan kemahiran,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran S3P dan Direktori Usahawan di sini, semalam.

Menurut beliau, Direktori Usahawan yang dilancarkan mengandungi maklumat usahawan yang telah menerima kemudahan MARA melalui pelbagai program di bawah sektor keusahawanan terdiri daripada Peserta Latihan Keusahawanan, Penerima Skim Pembiayaan Perniagaan dan Penyewa Premis MARA.

“Direktori yang dibangunkan secara dalam talian ini sebagai sumber rujukan maklumat kepada usahawan dan bakal usahawan, selain digunakan sebagai platform pemasaran produk dan perkhidmatan yang ditawarkan usahawan,” jelasnya.

Dalam majlis sama, MARA turut menyampaikan cek dan surat tawaran Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) Penjana institut pengajian tinggi swasta (IPTS) kepada 21 wakil IPTS bumiputera bernilai RM26.3 juta serta lapan penerima pembiayaan Dananita berjumlah RM290,000.

Azizah turut mengalu-alukan usahawan wanita memanfaatkan pembiayaan Dananita kerana kerajaan telah menambah peruntukan RM25 juta lagi tahun ini untuk menggalakkan penglibatan wanita agar lebih agresif dalam perniagaan.

“Sejak dilancarkan pada 2017, MARA telah menyalurkan dana sebanyak RM28.3 juta yang telah memberi manfaat kepada 1,043 usahawan wanita.

“Oleh itu, dengan penambahan RM25 juta lagi menerusi Belanjawan 2021, kita mahu membantu lebih ramai wanita meningkatkan jumlah pendapatan isi rumah dengan memberi suntikan modal untuk meningkatkan prestasi perniagaan mereka,” ujarnya. – UTUSAN

The post MARA bantu 1,000 usahawan mikro appeared first on Utusan Digital.