Lans Koperal didakwa rasuah tarik balik laporan polis

SHAH ALAM – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan termasuk pilihan kerana menerima suapan RM4,000 untuk menarik semula laporan polis dilakukan sebuah syarikat perkhidmatan pengangkutan dan pengiklanan, empat bulan lalu.

Tertuduh, Chin Wei Siang, 29, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Wei Siang yang bertugas di kaunter aduan, Pondok Polis Taman Berjaya di sini bersetuju menerima suapan RM4,000 daripada seorang wanita sebagai dorongan menarik semula laporan polis terhadap suaminya yang dibuat oleh sebuah syarikat perkhidmatan pengangkutan dan pengiklanan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000,mana lebih tinggi mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Dia juga didakwa pertuduhan pilihan dengan jawatan, lokasi tugasan dan jumlah wang serta daripada individu sama tanpa sebarang balasan yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Jalan Sungai Rasau, Seksyen 32 di sini pukul 4.10 petang pada 3 Disember tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM15,000 bersama penjamin selain syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah. Tertuduh diwakili Peguam Jay Moy Wei Jiun.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan. Sebutan semula kes pada 27 Mei depan. -K!ONLINE

The post Lans Koperal didakwa rasuah tarik balik laporan polis appeared first on Kosmo Digital.