Bicara kes bunuh Zulfarhan akhirnya ditutup

KUALA LUMPUR – Selepas tiga tahun, perbicaraan kes bunuh, bersubahat membunuh dan memcederakan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain akhirnya selesai selepas kes itu ditutup di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ia apabila selepas pihak pembelaan telah memanggil kesemua saksi bagi memberi keterangan termasuk saksi pendakwaan (rebuttal) terakhir pada hari ini yang merupakan Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr. Mohamad Azaini Ibrahim.

Hakim Datuk Azman Abdullah kemudian menetapkan 10 Mei ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis.

Terdahulu sejurus selepas saksi terakhir selesai memberi keterangan Hakim Azman memanjatkan rasa syukur.

“Alhamdulilah, kes sudah selesai (saksi-saksi memberi keterangan),” katanya.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 29 Januari 2018 pihak pendakwaan telah memanggil seramai 31 saksi antaranya saksi pendakwaan keenam iaitu Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr. Salmah Arshad.

Bagi perbicaraan bela diri yang bermula pada 2 Oktober 2019 pihak pembelaan telah memanggil seramai 20 saksi termasuk pakar perunding forensik di Hospital Sungai Buloh Dr. Rohayu Shahar Adnan merupakan yang saksi pembelaan ke-19.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi dan Mohd. Josiendra Abu Senin manakala tertuduh-tertuduh diwakili barisan peguam Amer Hamzah Arshad,Fadly Hashim, M.Varunchelvam dan Fatimah Azzahrah Rumaizi.

Sementara itu, bapa Zulfarhanan, Zulkarnain Idros, 57, ketika ditemui selepas prosiding berkata, beliau dan keluarga menerima apa sahaja keputusan Hakim kelak.

“Saya terima apa sahaja keputusan hakim, Ia akan membuktikan dia (tertuduh) buat atau dia tidak buat,” katanya yang ditemani isterinya Hawa Osman, 58. – K!ONLINE

The post Bicara kes bunuh Zulfarhan akhirnya ditutup appeared first on Kosmo Digital.