Anggota TLDM direman 6 hari buat tuntutan palsu

JOHOR BAHRU – Ketua Cawangan Logistik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan atas tuduhan membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM24,250.

Majistret Nur Izzaty Muhammad Zahari memerintahkan reman berkenaan terhadap suspek selepas permohonan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor.

Suspek yang berusia 36 tahun itu ditahan reman bermula hari ini sehingga 13 April ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dilakukan.

Reman itu bagi membantu siasatan bersubahat dan memperakukan pesanan kerajaan seterusnya mengemukakan tuntutan palsu berkaitan perkhidmatan mencetak beg kertas dan perkhidmatan mencetak banner.

Tuntutan palsu itu dibuat kepada Markas KD Sultan Ismail, Pusat Latihan Perajurit Muda TLDM Tanjung Pengelih Mukim Pengerang, Kota Tinggi yang berjumlah RM24,250 sedangkan pembekalan tersebut tidak pernah dibuat.

Semalam, suspek yang bertugas sebagai Ketua Cawangan Logistik ZA20 di Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM Sungai Lunchoo telah ditahan di Pejabat SPRM Johor pada pukul 10 pagi.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.-K! ONLINE

The post Anggota TLDM direman 6 hari buat tuntutan palsu appeared first on Kosmo Digital.