SK Keruak diarah tutup ekoran pelaksanaan PKPD

KUALA NERUS – Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak diarahkan tutup berkuatkuasa hari ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di mukim Hulu Besut.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Salim Ab. Ghani berkata, penutupan sekolah tersebut akan berterusan sehingga pelaksanaan PKPD di lokasi terlibat ditamatkan sepenuhnya.

“Ia melibatkan 385 murid melitupi 205 murid lelaki dan selebihnya 180 perempuan di SK Keruak.

“Begitupun, ujian saringan Covid-19 setakat ini menunjukkan semua guru dan murid sekolah terbabit bebas daripada penyakit pandemik itu,” katanya di sini hari ini.

Salim berkata, sepanjang penutupan sekolah,
kaedah pembelajaran masih diteruskan menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pelaksanaan PKPD di tiga perkampungan di mukim Hulu Besut, iaitu
Kampung Belaoh, Kampung Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Belaoh Baru dan Kampung Keruak berkuatkuasa hari ini.

Ismail berkata, ia berikutan peningkatan kes di tiga lokaliti terbabit dengan enam orang disahkan positif Covid-19 setakat ini. – K! ONLINE

The post SK Keruak diarah tutup ekoran pelaksanaan PKPD appeared first on Kosmo Digital.