PM ketuai Malaysia ke Sidang Kemuncak D-8

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) Ke-10 yang diadakan secara maya esok.

Kementerian Luar (KLN) berkata, Sidang Kemuncak D-8 yang dihoskan oleh Bangladesh selaku Pengerusi itu bakal menyaksikan pemimpin negara terlibat membincangkan serta memperhalusi perkembangan serta pencapaian kerjasama ekonomi yang wujud sejak dua dekad lalu.

KLN berkata, para pemimpin negara-negara berkaitan seterusnya merangka rancangan kerjasama ekonomi untuk dekad akan datang meliputi enam bidang utama iaitu perdagangan, kerjasama industri dan perusahaan kecil dan sederhana, pertanian, pengangkutan, tenaga dan mineral serta pelancongan.

“Para pemimpin juga akan menerima pakai dua dokumen hasil iaitu Deklarasi Dhaka dan Pelan Hala Tuju D-8 2020-2030,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

KLN berkata, Deklarasi Dhaka akan memperkukuh komitmen negara anggota bagi menyempurnakan objektif dan kerjasama D-8 dalam merangka strategi masa hadapan.

Katanya, Pelan Hala Tuju D-8 bagi tempoh 2020 hingga 2030 pula akan menyediakan garis panduan bagi pemantauan dan penilaian ke atas pencapaian D-8 untuk 10 tahun.

“Sidang kemuncak ini juga dijangka akan menjana idea dan inisiatif baharu bagi mencapai objektif dan aspirasi Kumpulan D-8.

“Penyertaan Malaysia ke sidang kemuncak ini secara langsung menzahirkan komitmen dan sokongan berterusan Malaysia terhadap inisiatif-inisiatif di bawah rangka kerjasama D-8,” katanya.

Mengenai Sidang kemuncak D-8, KLN memaklumkan bahawa sidang itu telah didahului dengan Sesi Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri D-8 Ke-19 yang disertai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini.   -K! ONLINE

The post PM ketuai Malaysia ke Sidang Kemuncak D-8 appeared first on Kosmo Digital.