Larian obor Olimpik di Osaka dibatalkan

OSAKA, Jepun – Acara larian obor Osaka menjelang temasya Sukan Olimpik 2021 akan dibatalkan susulan peningkatan mendadak jumlah kes Covid-19, kata gabenor wilayah itu hari ini.

Keputusan diambil selepas wilayah Osaka mengumumkan darurat susulan peningkatan kadar jangkitan Covid-19 yang turut memberi tekanan kepada penduduk tempatan.

“Hari ini, kami menggesa penduduk di seluruh Osaka untuk tidak keluar rumah jika tiada urusan  penting. Kami turut membatalkan larian obor di jalan-jalan awam di seluruh wilayah ini.

“Bagaimanapun, kami sedang membincangkan sama ada larian obor boleh diadakan di jalan-jalan kawasan tertutup seperti taman sebagai alternatif,” kata Gabenor Osaka, Hirofumi Yoshimura.

Menurut beliau, adalah tidak sesuai untuk menganjurkan acara tersebut di jalan-jalan awam memandangkan ramai penduduk akan berkumpul untuk menyaksikannya.

“Larian obor biasanya akan menarik perhatian orang ramai untuk datang menonton meskipun kami telah mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Sebelum ini, arahan untuk tidak mengadakan larian obor di tempat awam telah pun dikeluarkan untuk bandar raya Osaka, namun pengumuman larangan hari ini diperluaskan ke seluruh wilayah tersebut.

Larian obor sukan Olimpik 2021 di seluruh Jepun bermula pada 25 Mac lepas di Fukushima dan dijangka merentasi wilayah Osaka pada 13 dan 14 April ini.

Dengan hanya tinggal lebih 100 hari sebelum acara sukan antarabangsa itu bermula pada 23 Julai ini, para pegawai Olimpik kini berdepan pelbagai masalah berikutan peningkatan mendadak  kes Covid-19 di Jepun. – AFP

The post Larian obor Olimpik di Osaka dibatalkan appeared first on Kosmo Digital.