Hijaukan Malaysia dengan tanam 100 juta pokok

SECARA umum, semua orang mengerti bahawa hutan merupakan sebahagian daripada ekosistem global yang mempunyai fungsinya tersendiri.

Hutan adalah paru-paru dunia kerana mempunyai peranan menyerap sejumlah besar gas rumah hijau seperti karbon dioksida dan sebagainya yang menjadi punca utama kepada pemanasan global.

Selain itu, pokok-pokok yang tumbuh di dalam hutan juga berperanan membekalkan oksigen segar yang diperlukan oleh manusia.

Tetapi kini banyak hutan yang diteroka dan banyak pokok telah ditebang untuk tujuan pembangunan.

Bagi mengatasi masalah itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sedang giat melaksanakan Kempen Penanaman 100 juta pokok di bawah Program Penghijauan Malaysia.

Kempen tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan liputan hutan untuk menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara.

Kempen tersebut telah mendapat sokongan pelbagai pihak termasuklah Yayasan Hijau Malaysia (YHM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) termasuk jabatan-jabatan perhutanan negeri, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Dalam pada itu, YHM yang merupakan agensi di bawah KeTSA, komited untuk menarik lebih banyak penglibatan syarikat korporat dan individu dalam menjayakan agenda nasional berkenaan.

Menerusi kempen ini, semangat cintakan alam semula jadi dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat khasnya melalui penanaman pelbagai jenis pokok sekali gus menyokong komitmen negara untuk mengekalkan litupan kawasan berhutan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif YHM, Amin Abdullah berkata, sebagai salah satu agensi di bawah KeTSA, YHM akan menghubungkan pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi, syarikat korporat, badan bukan kerajaan, institusi pendidikan, sekolah dan orang awam dalam menjayakan kempen tersebut.

POHON hijau amat penting bagi memastikan kestabilan ekosistem.

Menurutnya, YHM berperanan mendapatkan dana sumbangan kewangan daripada syarikat swasta dan korporat bagi melaksanakan aktiviti penanaman pokok menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan mengikut keperluan syarikat-syarikat terbabit.

“Pihak YHM berharap lebih banyak syarikat korporat dan individu akan tampil menyumbang dana dalam kempen berkenaan agar usaha penghijauan Malaysia ini mendapat sokongan dan penglibatan yang meluas di seluruh negara.

“Syarikat serta individu yang berminat untuk menyertai kempen ini boleh menyalurkan sumbangan dana mereka melalui YHM dan layak mendapat faedah pengecualian cukai yang disediakan di bawah Kategori Pembangunan Teknologi Hijau dan Pemuliharaan Alam Sekitar,” katanya.

Tambahnya, dana itu akan digunakan untuk aktiviti penanaman pokok, penyediaan bekalan anak pokok, kerja-kerja penanaman termasuk penyelenggaraan selama tempoh dua tahun.

Semua jenis pokok yang merupakan tumbuhan berkayu yang mempunyai akar, batang, dahan dan daun boleh ditanam di bawah program tersebut.

Setakat ini pihak YHM telah menerima respons yang positif daripada pelbagai pihak termasuklah usaha kolaboratif bersama pihak Runsteur bagi mengumpul dana kempen menerusi larian virtual Run For The Forest sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa.

Kerjasama antara YHM dan Runsteur ini sebagai usaha untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan penanaman pokok kepada masyarakat.

Sebanyak RM2 daripada setiap yuran pendaftaran peserta larian akan disumbangkan untuk Kempen Penanaman 100 Juta Pokok melalui YHM.

Sebagai tambahan, Runsteur turut menawarkan pakej sumbangan pokok hutan sebanyak RM130 dengan jumlah keseluruhan sumbangan yang terkumpul akan digunakan untuk penanaman pokok termasuk kerja-kerja penyelenggaraan di bawah kempen berkenaan.

“YHM turut mengalu-alukan syarikat korporat dan swasta untuk memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk termasuklah produk atau baucar diskaun pembelian.

“Bentuk sumbangan ini boleh dijadikan sebagai insentif untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti penanaman pokok dan seterusnya merekod aktiviti tersebut melalui aplikasi mudah alih Penghijauan Malaysia atau laman web www.100jutapokok.gov.my yang dibangunkan KeTSA,” kata Amin.

Dalam pada itu, orang ramai akan dapat mengumpul mata daripada aktiviti penanaman pokok dan menebus mata ini melalui aplikasi mudah alih dan laman web berkenaan.

Aplikasi mudah alih tersebut boleh dimuat naik melalui platform GooglePlay, AppStore dan AppGallery.

Buat masa ini, individu yang melakukan aktiviti penanaman pokok boleh menebus baucar Zalora menerusi laman sesawang tersebut.Bagi program penanaman pokok bersama penyumbang dana syarikat swasta dan korporat, terdapat tiga kategori pokok dan kawasan yang akan disediakan iaitu pokok hutan yang ditanam di kawasan hutan, pokok bakau yang ditanam di kawasan paya bakau dan pokok lain seperti pokok teduhan, pokok landskap atau pokok nadir ditanam di kawasan bandar seperti di taman awam atau sebagainya.

The post Hijaukan Malaysia dengan tanam 100 juta pokok appeared first on Kosmo Digital.