Gangguan internet tidak jejaskan rayuan Najib

PUTRAJAYA: Perbicaraan prosiding rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terjejas walaupun terdapat gangguan internet di seluruh pusat pentadbiran itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia hari ini, gangguan itu juga tidak menjejaskan rakaman prosiding rayuan di mahkamah terbuka malah pihak peguam dan pendakwaan turut dibekalkan dengan salinan rakaman selepas prosiding tamat.

Tambah kenyataan itu, gangguan internet Rangkaian Kampus Putrajaya (PCN) berlaku di Bangunan Istana Kehakiman dan beberapa agensi kerajaan di antara 10.30 pagi hingga 12 tengah hari semalam telah menyebabkan prosiding yang ditayangkan secara langsung di dewan persidangan untuk pengamal media terhenti.

Difahamkan, gangguan rangkaian internet itu juga berlaku di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

PCN ialah infrastruktur rangkaian yang disediakan untuk agensi-agensi kerajaan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Sebagai langkah berjaga-jaga ekoran pandemik Covid-19, media yang membuat liputan prosiding rayuan itu ditempatkan di dewan persidangan agar dewan mahkamah terbuka tidak terlalu padat.

Kenyataan tersebut dikeluarkan dengan merujuk kepada laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT) semalam bertajuk ‘Shafee goes ‘silent’ for over an hour during SRC appeal’.

Laporan itu kemudian dipetik oleh anak perempuan Najib, Nooryana Najwa Najib yang kemudiannya mempersoalkan kenapa gangguan tersebut berlaku sewaktu peguam bapanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sedang membuat pendedahan yang mengejutkan.

Perkara tersebut dipaparkan di akaun Instagram miliknya, yananajib melalui IG Story. Paparan tersebut masih berada di laman sosial tersebut.

Pada peringkat awal prosiding pagi tadi, Muhammad Shafee turut membangkitkan isu gangguan internet itu di hadapan panel hakim yang mendengar rayuan itu dan memohon agar media dibenarkan masuk ke dalam dewan mahkamah untuk membuat liputan.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel itu bagaimanapun memberitahu, bahagian teknologi maklumat (IT) telah mengambil maklum mengenai perkara tersebut sejak semalam.

Najib kini sedang merayu atas sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta.

Rayuan tersebut kini memasuki hari ketiga.

The post Gangguan internet tidak jejaskan rayuan Najib appeared first on Utusan Digital.