Bersatu, Pas mula bincang pembahagian kerusi

TAPAH: Proses pembahagian kerusi antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk persediaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berjalan lancar dan dijangka boleh diselesaikan seperti yang dijangka.

Perkara tersebut diselaraskan oleh jawatankuasa pilihan raya yang telah dibentuk pada Jawatankuasa Bersama Pas dan Bersatu di peringkat Pusat.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara yang diperincikan oleh jawatan kuasa tersebut termasuklah merangka manifesto pilihan raya bersama.

“Usaha kerjasama ke arah persediaan menghadapi PRU-15 memang telah dibuat dan saya amat berpuas hati.

“Pada Jumaat nanti (9 April), saya juga akan mewakili Bersatu bertemu Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar untuk duduk bincangkan pembahagian kerusi Pas – Bersatu untuk PRU-15,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Lawatan ke Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq di Kem Bidor di sini hari ini.

Kata Ahmad Faizal, ketika ini lebih 20 peratus pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak telah pun dicapai antara Pas dan Bersatu.

Katanya, pembahagian tersebut adalah mengikut kerusi DUN dalam kalangan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) negeri.

“Kita akan bertanding dalam kerusi rakan-rakan PN termasuklah juga UMNO, tapi kalau ada pihak yang tak nak, kita terpaksa hadapi.

“Sama ada rakyat nak jajaran sedia ada atau kita kena buat penyusuan semula (pembahagian kerusi),”

Pada majlis tersebut, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang menyampaikan sumbangan kepada dua wira negara iaitu Sarjan Norihan Tari dan mendiang Sarjan Baharuddin Ramli yang diterima balunya, Relow Ko.

Dua wira negara ini terbabit dalam kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand pada November tahun lalu.

Beliau juga menyampaikan sumbangan bagi keperluan Sekolah Agama Rakyat anak-anak PGA dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP).

Turut disumbangkan ialah ikan segar sebanyak satu tan manakala sebanyak 800 kilogram bagi anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah. -UTUSAN ONLINE

The post Bersatu, Pas mula bincang pembahagian kerusi appeared first on Utusan Digital.