Atlet gimnastik Greece dakwa diseksa jurulatih bertahun-tahun

ATHENS, Greece- Hampir 24 ahli gimnastik Greece mendakwa telah diabaikan dan didera oleh jurulatih mereka selama bertahun-tahun.

Menurut akhbar tempatan,  pendedahan itu dibuat menerusi sepucuk surat yang ditulis oleh 22 atlet lelaki dan wanita kepada Presiden negara itu, Katerina Sakellaropoulou dan Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis.

Kumpulan atlet tersebut mendakwa bahawa mereka diperlakukan dengan kasar dan kejam sejak tahun 1985 termasuk dipaksa berpuasa selain menderita penderaan mental dan fizikal di samping menjadi mangsa gangguan seksual.

“Buat pertama kali, pendedahan tentang penderaan secara psikologi dan fizikal dibuat beramai-ramai oleh atlet gimnastik,” demikian kata peguam kumpulan atlet tersebut, Alexandros Adamidis kepada akhbar tempatan.

Bagaimanapun, tiada tindakan diambil persekutuan gimnastik Greece susulan tuduhan tersebut pada Mac lalu.

Dalam surat tersebut, kumpulan atlet itu mendakwa, jurulatih akan menampar, menendang dan melemparkan objek kepada atlet semasa latihan malah turut menarik rambut dan menyeret badan atlet perempuan.

Kadangkala, jurulatih akan menanggalkan tilam pelapik semasa latihan yang mengakibatkan atlet cedera. Beberapa atlet juga dipaksa untuk meneruskan latihan walaupun mereka telah tercedera, demikian menurut  surat itu.

Langkah disiplin yang dikenakan termasuk memaksa atlet untuk berlatih dalam cuaca ekstrem serta tidak membenarkan mereka pergi ke tandas. – AFP 

The post Atlet gimnastik Greece dakwa diseksa jurulatih bertahun-tahun appeared first on Kosmo Digital.