10,000 penduduk Kota Tinggi berdepan masalah air bersih

KOTA TINGGI: Setiap tahun, kira-kira 10,000 penduduk di lima buah kampung, di sini perlu bersedia dengan tong-tong air apabila sering berdepan dengan masalah air bersih sejak 10 tahun lalu.

Penderitaan penduduk bagi mendapatkan bekalan keperluan asas itu dialami mereka yang tinggal di Sedili, Mawai, Felda Aping Timur, Aping Barat serta Perani sebanyak dua atau tiga kali setahun.

Seorang penduduk, Rozita A. Manap, 40, berkata, gangguan bekalan air itu menyukarkan penduduk kerana air merupakan keperluan asas untuk melakukan aktiviti dan kehidupan harian.

“Jika pergi di mana-mana rumah penduduk di Sedili ini pasti akan dapat melihat tong-tong air yang dibeli untuk simpanan air.

“Tambahan pula tak lama lagi bulan Ramadan tiba dan seterusnya Syawal. Boleh dikatakan setiap kali raya kami di sini akan ‘mengerjakan’ pinggan mangkuk kotor tanpa air.

“Tolonglah buat sesuatu. Kami letih isu ini tidak berakhir. Rakyat yang perlu berdepan keadaan yang sukar ini. Bantulah kami atasi masalah air di sini,” katanya ketika ditemui di Kampung Sayang, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd. Hadi Mohd. Salleh, 50, yang merupakan seorang penternak berkata, apa yang dilihat keadaan semasa air loji Sungai Gembut tidak surut seperti mana kemarau yang lalu.

Katanya, tindakan catuan air itu tidak relevan kerana paras air masih banyak di kawasan loji lebih-lebih lagi pada musim hujan sekarang.

“Saya tinggal di Kampung Mawai, isu ini memang sudah lama. Banyak usaha-usaha yang digembar-gemburkan hendak dilakukan berkenaan isu air ini namun sehingga kini tiada apa-apa hasil.

“Mujurlah untuk ternakan saya boleh beri air kolam sahaja untuk haiwan-haiwan terus hidup. Tidak seperti manusia kami perlukan sumber air yang konsisten dan bersih untuk kegunaan harian kami,” katanya.

Bagi Rozana Mohamad, 30, pula , sudahlah air dicatu, bila sahaja waktu bekalan air disambungkan sumber air yang diterima penduduk dalam keadaan berwarna kekuningan.

Katanya, dia sekeluarga pernah mengalami sakit perut selepas minum air tersebut.

“Untuk kami membeli air mineral buat kegunaan harian manalah kami mampu, maka bantulah kami agar masalah air ini dapat diselesaikan segera supaya kami dapat hidup dalam keadaan yang tenteram,” katanya. -UTUSAN ONLINE

The post 10,000 penduduk Kota Tinggi berdepan masalah air bersih appeared first on Utusan Digital.