MBSA lancar aplikasi i-GRED tingkat kebersihan premis makanan

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan pertama di negara ini yang melancarkan aplikasi Sistem Pemeriksaan Kebersihan Kendiri Premis Makanan Berlesen (i-GRED) untuk meningkatkan pengetahuan terhadap aspek kebersihan premis di kawasan pentadbirannya.

Pemangku Datuk Bandar, Mohd. Rashidi Ruslan berkata, aplikasi i-GRED merupakan sistem pemeriksaan kebersihan kendiri premis makanan yang mengkehendaki pemilik atau pengusaha premis makanan menjalankan pemeriksaan dan membuat penilaian tahap kebersihan premis dan keselamatan di lokasi masing-masing.

Katanya, melalui aplikasi itu, pemeriksaan dan penilaian tahap kebersihan premis makanan dilakukan secara bersepadu melibatkan tiga pihak iaitu pengusaha, pelanggan dan pegawai pemeriksa MBSA.

“Pengusaha premis perlu mendapatkan maklum balas daripada pengunjung melalui aplikasi i-GRED sebagai satu kaedah pemantauan kebersihan premis.

“Bilangan minima adalah sebanyak 30 maklum balas pelanggan bagi sesebuah premis dalam tempoh sebulan.

“Selepas itu, peniaga perlu menyediakan dan menghantar laporan penilaian tahap kebersihan setiap bulan kepada MBSA menggunakan aplikasi sama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan aplikasi I-GRED di Auditorium MBSA hari ini.

Mengulas lanjut, Rashidi memberitahu, pihaknya menyasarkan sebanyak 200 premis menggunakan aplikasi itu secara konsisten pada tahun ini.

“Penggunaan aplikasi ini sangat mudah iaitu pemilik premis hanya perlu mendaftar dengan bayaran permohonan sebanyak RM150 dan mereka boleh membuat penilaian dengan lebih terperinci dan lebih kukuh bersama gambar.

“Bagi premis makanan yang mendapat gred A, pihak kami akan mempromosikan premis itu di laman web rasmi, Facebook dan billboard rasmi MBSA,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

The post MBSA lancar aplikasi i-GRED tingkat kebersihan premis makanan appeared first on Utusan Digital.