Kartel projek kerajaan : Jumpa RM3.5 juta di rumah Datuk

PUTRAJAYA: Wang tunai berjumlah RM3.5 juta ditemukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hasil yang diperoleh seorang ketua sindiket bergelar Datuk selepas terlibat dalam sindiket kartel projek kerajaan.

Memberitahu Utusan Malaysia, sumber berkata, selain wang tunai yang ditemukan dirumahnya semalam beberapa kenderaan mewah bernilai RM15.7 juta turut disita.

Kata sumber itu, SPRM turut menyita hartanah termasuk banglo, rumah kedai, pejabat bernilai RM29 juta hasil serbuan yang dilakukan SPRM sejak semalam.

“Selain itu, sebanyak 644 akaun individu dan syarikat yang dianggarkan bernilai RM100 juta turut dibekukan dalam siasatan kes kartel projek.

“Kartel projek yang diketuai oleh seorang ahli perniagaan berusia 47 tahun itu telah membolot projek-projek kerajaan menerusi tender atau sebut harga bernilai lebih RM3.8 billion.

“Malah sindiket ini telah beroperasi sejak tahun 2014 hingga tahun ini,” kata sumber itu.

Mengulas lanjut kata sumber, kemewahan yang ditunjukkan oleh Datuk yang merupakan ketua sindiket ini amat luar biasa.

Jelas beliau, selain dari memiliki nilai hartanah dan wang tunai yang luar biasa jumlahnya, suspek memiliki beberapa kereta mewah, sebuah kapal mewah dan dua buah helikopter.

KETUA sindiket turut memiliki helikopter.

“Modus operandi kumpulan kartel projek ini ialah membuka lebih 150 buah syarikat dengan setiap individu yang digunakan nama sebagai pengarah syarikat dibayar gaji antara RM5,000 hingga RM8,000 yang mana syarikat itu adalah milik beliau.

“Dipercayai 114 orang telah digunakan nama untuk membuka lebih 150 buah syarikat,” jelasnya.

The post Kartel projek kerajaan : Jumpa RM3.5 juta di rumah Datuk appeared first on Utusan Digital.