Bas elektrik BRT bakal dirasmikan Khamis

JOHOR BAHRU – Ujian rintis Iskandar Malaysia Bas Rapid Transit (IMBRT) selama tiga bulan akan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada Khamis ini.

IMBRT dilihat mampu memberi nilai tambah kepada sistem pengangkutan dalam negara selain menjadi penyelesaian kepada pengangkutan awam yang mesra alam serta meningkatkan kualiti hidup komuniti di Iskandar Malaysia.

Pengarah IMBRT, Rudyanto Azhar berkata, ujian tersebut melibatkan sembilan syarikat pengeluar bas tempatan dan luar negara bagi mendemonstrasi kenderaan menggunakan teknologi hijau yang terkini termasuk bas elektrik dan biodiesel.

Katanya, ujian rintis itu bertujuan menguji laluan sebenar sekali gus menentukan jenis bas yang bersesuaian di sekitar kawasan Iskandar Malaysia.

“Ujian rintis Projek IMBRT mulai Khamis ini adalah bagi jarak sejauh empat kilometer dari Anjung, Medini, Lebuh Raya Sultan Iskandar sehingga Horizon Hills.

“Syarikat pengeluar bas yang terlibat dalam ujian rintis ini juga akan menggunakan teknologi hijau sepenuhnya, bekalan tenaga elektrik serta reka bentuk bas yang futuristik.

“Operasi IMBRT dijangka bermula dua tahun lagi iaitu pada 2023 sekali gus mengubah landskap pengangkutan Johor dan negara dalam menyediakan kemudahan bas sistematik,” katanya dalam sesi penerangan di Anjung, di sini hari ini.

Kos pelaksanaan projek IMBRT adalah sekitar RM2.56 bilion yang dibiayai menerusi kerajaan pusat sebanyak RM1 bilion, manakala bakinya adalah menerusi kerjasama swasta-awam bernilai RM1.56 bilion.

Program ujian rintis selama tiga bulan sehingga Julai ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara memiliki kemudahan tersebut.

IMBRT akan menyediakan 55 perkhidmatan penghantar dan 44 perkhidmatan terus, menjadikan liputan rangkaian keseluruhan seluas 2,043 kilometer atau hampir 90 peratus daripada kawasan berpenduduk di Iskandar Malaysia.

Tiga laluan utama bagi IMBRT adalah Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri yang merangkumi 33 stesen, dengan satu hab di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Laluan Skudai.

Laluan utama akan mempunyai dua stesen akhir iaitu di Desa Jaya melalui Laluan Tebrau dan di Anjung menerusi Laluan Iskandar Puteri.-K! ONLINE

The post Bas elektrik BRT bakal dirasmikan Khamis appeared first on Kosmo Digital.