ADUN Sebatik bersama 5,000 ahli Warisan sertai Bersatu

KOTA KINABALU: Teka-teki hala tuju perjuangan politik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang keluar dari Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Februari lalu akhirnya terjawab.

ADUN Sebatik itu menyerahkan borang keahlian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam majlis sambutan ulang tahun kedua Bersatu Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, dekat sini semalam.

Bagaimanapun, penyertaannya dalam Bersatu bukan bersendirian, beliau turut menyerahkan borang keahlian 5,000 ahli Warisan daripada 98 cawangan di DUN Sebatik untuk bersama-sama menyertai parti berkenaan.

Ketika ditemui media, Hassan berkata, keputusan menyertai Bersatu itu dibuat selepas perbincangan dengan pemimpin di peringkat akar umbi dan juga ketua-ketua cawangan yang sebelum ini adalah ahli-ahli Warisan.

“Mereka bersedia dan bersetuju bersama saya untuk menyertai Bersatu. Saya mengajak mereka tanpa sebarang paksaan dan mereka secara sukarela ingin menyertai Bersatu bersama-sama dengan saya.

“Selepas saya mengisytiharkan keluar (Warisan) menjadi ADUN Bebas lebih kurang sebulan. Kita melihat pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menampakkan kepimpinan yang positif dan mendapat sambutan.

“Kita berkeyakinan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin akan meneruskan pemerintahannya di negara dan negeri Sabah. Atas sebab itulah kita membuat keputusan menyertai Bersatu,” katanya.

Semalam, Hassan menyerahkan borang keahlian menyertai Bersatu kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang kemudiannya diserahkan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sambil disaksikan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pada 25 Februari lalu, Hassan mengumumkan menjadi ADUN Bebas yang menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat negeri dan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri di peringkat Persekutuan.

Hassan memenangi kerusi DUN Sebatik dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 26 September tahun lalu atas tiket Warisan.- UTUSAN ONLINE

The post ADUN Sebatik bersama 5,000 ahli Warisan sertai Bersatu appeared first on Utusan Digital.