SSM santuni balu mangsa Covid-19

JOHOR BAHRU: Penderitaan balu mangsa Covid-19, Noradilah Rani, 33, bersama enam anaknya mendapat perhatian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Johor yang melakukan kunjungan ke rumah keluarga itu di Pangsapuri Desa Hajah Hasnah di sini, semalam.

Kunjungan itu dibuat bagi menyampaikan sumbangan zakat bawah Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) SSM dalam bentuk wang tunai dan penyerahan Akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) untuk enam anak ibu tunggal berkenaan.

Turut diserahkan sijil pendaftaran perniagaan di bawah Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) SSM. 

Penyerahan sumbangan itu disampaikan Pengarah SSM Johor, Hairul Anuar Yasin sambil diiringi pegawai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Johor.

Menurut Hairul Anuar, Noradilah merupakan seorang usahawan B40 yang mendapat manfaat daripada SPPP SSM iaitu pendaftaran perniagaan secara percuma.

“SPPP SSM merupakan satu daripada sembilan inisiatif SSM 2021 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membantu komuniti perniagaan di mana pendaftaran adalah percuma,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 17 Mac tahun lalu, suami Noradilah iaitu Mohammad Yusof Haron, 34, meninggal dunia selepas disahkan positif Covid-19 dan dirawat selama seminggu di Hospital Permai, di sini.

Arwah disahkan positif pada 13 Mac tahun lalu dan punca jangkitan dikatakan mangsa pernah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor sebelum itu.

Selain Mohammad, empat anaknya turut disahkan positif wabak itu dan menerima rawatan serta kuarantin pada tarikh sama arwah dimasukkan ke hospital hingga 29 Mac sebelum sembuh.

Hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan enam anak iaitu Muhammad Danish Sulaiman, 11; Nurul Huda, 10; Nurul Aisyah Sakinah, 7; Muhammad Usman, 5; Nurul Najwa Humairah, 3, dan Muhammmad Luqman, 8 bulan. – UTUSAN ONLINE

The post SSM santuni balu mangsa Covid-19 appeared first on Utusan Digital.