Kecewa dalam gembira – Ragini

KOTA BHARU: Pengendali Kelantan FC, Marco Ragini menyifatkan kekalahan tipis 0-1 di tangan Sarawak United pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin sebagai ‘kecewa dalam gembira’.

Ragini berkata, walaupun kekalahan itu amat pedih untuk ‘ditelan’ namun beliau gembira dengan aksi pemain-pemain The Red Warriors (TRW).

Menurutnya, pasukannya sentiasa menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.

“Saya optimis, jika pemain meneruskan rentak ini, tidak mustahil kami akan menjadi antara pasukan terkuat dalam saingan ini,” katanya.

Jaringan tunggal jarak jauh Lee Chang Hoon pada babak pertama sudah memadai buat Sarawak United untuk membawa pulang tiga mata penting.

Ragini berterima kasih kepada pemain kerana memberikan aksi cemerlang dalam perlawanan itu meskipun gagal meraih sebarang mata.

“Saya harap pemain terus kekal fokus untuk perlawanan berikutnya bagi memastikan sasaran pasukan mampu dicapai,” katanya.

The post Kecewa dalam gembira – Ragini appeared first on Utusan Digital.