Gaji minimum dipersetujui antara graduan, majikan-Saravanan

SHAH ALAM: Tawaran gaji rendah kepada graduan dipersetujui antara individu terbabit dengan majikan dan tidak melibatkan kerajaan.

Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menegaskan, semua majikan masih tertakluk kepada penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan tiada kelonggaran diberikan ketika musim pandemik Covid-19.

“Ada majikan yang menawarkan kerja dengan gaji sedia ada daripada menjadi penganggur.

“Ini bukan pendirian kerajaan, namun, persetujuan antara majikan dengan graduan yang sanggup menerima bayaran gaji rendah,” katanya ketika ditanya berkenaan isu gaji permulaan graduan yang memasuki pasaran pekerjaan lebih rendah berbanding tahun sebelumnya susulan ekonomi terjejas akibat Covid-19.

Terdahulu, Saravanan hadir merasmikan program Malaysia Prihatin dan penyerahan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS) Zon Tengah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Pekerja, Kamal Pardi.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebelum ini melaporkan majoriti golongan itu menerima anggaran gaji bulanan antara RM1,001 hingga RM1,500 berbanding purata RM2,001 hingga RM2,500 yang direkodkan pada 2019.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, ada graduan berkemungkinan memperoleh gaji harian pada tempoh masa tertentu atau secara separuh masa.

“Selain itu, ada majikan tidak memerlukan pekerja sepenuh masa dan mereka akan membayar gaji mengikut waktu bekerja,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan meluluskan dana geran berjumlah RM1 juta untuk diagihkan kepada kesatuan sekerja di seluruh negara tahun ini.

“Pengagihan geran secara berperingkat itu bagi pembangunan dan meningkatkan kecekapan pentadbiran kesatuan sekerja,” katanya. -UTUSAN ONLINE

The post Gaji minimum dipersetujui antara graduan, majikan-Saravanan appeared first on Utusan Digital.