Bandar Batu Pahat ditenggelami air banjir

BATU PAHAT – Hujan lebat sejak Zuhur hingga lewat petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di bandar ini dinaiki air.

Kejadian hujan lebat tanpa henti kira-kira tiga jam bermula pukul 1 tengah hari itu turut menyebabkan beberapa kenderaan, kediaman dan premis perniagaan ditenggelami air.

Menerusi pesanan mesej yang tular melalui aplikasi sosial WhatsApp mendakwa jalan-jalan utama di kawasan bandar dinaiki air dan menyekat laluan kenderaan.

Antara jalan yg dinaiki termasuk Jalan Pegawai di Dataran Batu Pahat, Jalan Bukit Pasir, Jalan Rahmat, Jalan Zabedah, kawasan sekitar Kompleks 2000 dan Stesen Bas Batu Pahat.

Dalam perkembangan sama, terdapat video rakaman daripada orang ramai yang merakamkan situasi sebuah kereta tenggelam di sebuah longkang di depan sebuah stesen minyak di Tanjung Laboh di sini.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor yang dihubungi berkata, pihaknya sedang mengemaskini laporan berkaitan dan sedang melakukan pemantauan.-K! ONLINE

The post Bandar Batu Pahat ditenggelami air banjir appeared first on Kosmo Digital.