20 maut nahas feri di Bangladesh

DHAKA, Bangladesh  – Sekurang-kurangnya 20 orang maut manakala beberapa puluh yang lain dikhuatiri  lemas di Bangladesh apabila sebuah feri bertembung dengan sebuah bot di Sungai Shitalakhsya  petang semalam.

Feri dua tingkat itu dilanggar sebuah kapal kargo dari arah belakang dan karam  di dalam Sungai Shitalakhsya, dekat ibu kota Bangladesh, Dhaka, demikian menurut  pegawai tempatan,  Mobarak Hossain.

Sekurang-kurangnya 15 mayat telah ditemui, menjadikan  jumlah kematian akibat nahas itu meningkat kepada 20 orang.

“Kami telah menemui 15 mayat lagi selepas  feri yang karam ditarik keluar ke tebing sungai. Angka kematian kini adalah 20 orang,” kata pentadbir bandar Narayanganj,  Shukla Sarker kepada AFP.

Kemalangan berlaku sekitar pukul 6 petang(waktu tempatan), tidak lama selepas feri itu meninggalkan Narayanganj menuju ke daerah berdekatan,  Munshiganj dalam perjalanan yang mengambil masa sekitar 45 minit.

Feri itu dipenuhi penumpang yang bergegas meninggalkan kawasan industri selepas kerajaan Bangladesh mengesahkan perintah berkurung di seluruh negara selama tujuh hari mulai hari ini dalam usaha untuk mengawal peningkatan kes Covid-19.

Sepanjang tujuh hari perintah berkurung berjalan, semua perkhidmatan pengangkutan domestik termasuk penerbangan akan ditangguhkan dengan pusat beli-belah dan kedai ditutup.

Bank pula hanya dibenarkan dibuka  selama 2  setengah jam pada hari bekerja sementara perniagaan sektor awam dan swasta dibenarkan beroperasi dengan jumlah pekerja paling minimum di pejabat. – Agensi 

The post 20 maut nahas feri di Bangladesh appeared first on Kosmo Digital.