Warga asing ditahan buat laporan palsu

PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki warga asing membuat satu laporan palsu berhubung kes pemerasan membabitkan anggota polis mengundang padah selepas dia di tahan di Jalan Selangor, Off Jalan Travers semalam.

Dalam tangkapan pada pukul 8.33 malam itu, suspek yang berusia 37 tahun itu mendakwa telah mengalami kerugian RM8,000 selepas di peras ugut anggota kereta peronda (MPV) polis di tepi Jalan Solaris 1, Mont Kiara pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, siasatan lanjut mendapati suspek telah memberikan keterangan yang tidak konsisten.

“Semakan terhadap akaun milik suspek mendapati tiada transaksi pengeluaran wang pada tarikh 21 Februari 2021 seperti yang didakwanya.

“Suspek juga mengaku telah membuat laporan palsu dengan rekaan satu kejadian yang tidak wujud kerana wang yang dipinjam dari majikan telah tercicir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, suspek juga membuat laporan polis agar mendapat simpati daripada pihak majikan bagi mendapatkan pinjaman wang untuk kali kedua.

“Kita juga telah melakukan serbuan di rumah suspek dan merampas sekeping laporan polis dari Balai Polis Sri Hartamas, kad ATM (3), telefon bimbit (2) serta resit penyata bank (2),” jelasnya.

Kes akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara Kuala Lumpur dengan cadangan pertuduhan terhadap pengadu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. -K! ONLINE

The post Warga asing ditahan buat laporan palsu appeared first on Kosmo Digital.