Tujuh tahun tinggal dalam stor

BACHOK – Empat beranak terpaksa bersesak tinggal di dalam stor menyimpan tembakau sejak tujuh tahun lalu ekoran tidak mampu untuk menyewa rumah kerana kekangan kewangan di Kampung Cherang Hangus di sini.

Stor seluas 12 meter persegi itu menjadi tempat berlindung kepada Mohd. Shafiq Zaharudin, 27, isterinya, Hadinatul Mastura Rashid, 24, dan dua anak mereka iaitu Muhammad Aidil Zafran, 8, serta Muhammad Airil Zahfril, 3.

Bukan sahaja tidak selesa, bahkan rumah yang sempit itu berbahaya kerana sering dimasuki air dan haiwan berbisa seperti ular dan lipan.

Menurut Hadinatul Mastura, selepas berkahwin, dia tinggal di rumah keluarga mertuanya yang berada berhampiran stor tersebut, namun mereka mengambil keputusan untuk berpindah selepas melahirkan anak sulung.

“Kami berpindah kerana tidak mahu menyusahkan keluarga selain rumah itu sudah ramai yang tinggal di situ.

“Kami membuat sambungan air dan elektrik ke stor ini yang pernah dijadikan tempat me­nyimpan daun tembakau 20 tahun lalu,” katanya ketika ditemui.
Tambahnya, Mohd. Shafiq hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu.

Menurut Hadinatul Mastura, dia berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan membina rumah di kawasan berdekatan rumah mertuanya. Mereka juga ada memohon bantuan rumah daripada Majlis Agama dan Istiadat Melayu Kelantan.

“Ada juga pihak yang memberi sumbangan barangan asas seperti beras, gula dan minyak masak,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Hadinatul Mastura iaitu 153131154209 atau hubungi talian 017-977 0133.

The post Tujuh tahun tinggal dalam stor appeared first on Kosmo Digital.