Selepas 24 tahun, gelandangan akhirnya berkahwin 

FILIPINA: Hasrat sepasang kekasih gelandangan untuk berkahwin selepas 24 tahun akhirnya tercapai selepas pemilik kedai pendandan rambut menaja pakej perkahwinan buat mereka.  

Lapor Daily Mail, pasangan kekasih itu tidak berkahwin sebelum ini kerana terlalu sibuk mencari sesuap makanan pada setiap hari.  

Pasangan itu ialah Rosalyn Ferrer, 50 dan Rommel Basco, 55, yang tinggal di wilayah Pampangan, Filipina dan bekerja mencari barangan terpakai dan kitar semula setiap hari.  

Pemilik salon itu, Richard Strandz  membantu pasangan itu membuat permohonan bagi mendapatkan lesen perkahwinan serta menaja perkahwinan mereka di gereja apabila semua dokumen sudah tersedia. 

Rosalyn memakai gaun berwarna putih dan Rommel menyarung persalinan Barong Tagalog semasa sesi penggambaran yang diadakan 13 Februari lalu. 

“Saya pernah berangan-angan semasa kecil memakai baju putih perkahwinan. Kami tidak pernah mempunyai wang mencukupi kerana terlalu sibuk memastikan setiap hari ada makanan mencukupi. Sekarang saya berasa bersyukur kerana semuanya sudah menjadi kenyataan,” luahnya. 

Menceritakan detik pertemuan pendandan rambut dengan pasangan itu, kata Richard, pertama kali dia melihat mereka mengutip botol plastik yang dibuang berdekatan kedainya. 

“Saya terfikir bagaimana pasangan itu tinggal bersama selama lebih dua dekad, namun, tidak mampu mengadakan majlis perkahwinan walaupun secara kecil-kecilan. 

“Saya tersentuh dengan kisah cinta mereka dan terus menghubungi kawan yang mempunyai perniagaan perkahwinan dan menghadiahkan mereka perkahwinan kebajikan ini,” katanya. 

 

 

 

The post Selepas 24 tahun, gelandangan akhirnya berkahwin  appeared first on Utusan Digital.