KWSP terus lindungi simpanan ahli

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat prestasi kukuh dari aspek operasi dan kewangan bagi tahun 2020 dengan mengumumkan dividen sebanyak 5.20 peratus dan jumlah agihan sebanyak RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional.

Bagi Simpanan Shariah, kadar dividennya adalah 4.90 peratus dengan agihan berjumlah RM4.76 bilion. Jumlah agihan dividen bagi tahun 2020 adalah sebanyak RM47.64 bilion.

AHMAD BADRI MOHD. ZAHIR

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir berkata, dengan purata lima tahun dividen sebenar pada kadar 4.62 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 4.32 peratus bagi Simpanan Shariah selepas diselaraskan untuk inflasi, KWSP telah melebihi sasaran strategik dengan pengisytiharan purata dividen sebenar tidak kurang daripada dua peratus dalam tempoh lima tahun berturut-turut.

KWSP telah berjaya mencatat prestasi yang memberangsangkan pada tahun 2020 walaupun mengharungi situasi yang tidak terjangka iaitu pandemik Covid-19 dan dalam persekitaran unik yang menyaksikan dunia berhadapan dengan krisis berkembar iaitu krisis kesihatan dan ekonomi.

“KWSP telah berjaya melindungi simpanan persaraan ahli dengan baik, di samping memenuhi keperluan mendesak untuk mereka menangani cabaran semasa.

“Ada ketikanya, KWSP perlu mengambil keputusan yang sukar bagi memastikan ahlinya mampu bertahan dalam situasi semasa yang mencabar dan pada masa sama mengimbangi keperluan masa depan mereka.
“Penyebaran dan kebolehjangkitan Covid-19 yang pantas telah menyebabkan ia sukar dibendung dan dikawal.

“Namun, langkah proaktif dalam menangani kesan daripada wabak tersebut telah membantu kami mengatasi pelbagai cabaran,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Ahmad Badri menjelaskan, fokus ke arah digitalisasi telah membolehkan KWSP membantu ahli dengan lebih cekap dan lancar di samping memastikan ia tetap relevan dengan ahli yang kian celik teknologi.

“Tindak balas pantas KWSP dalam mengadaptasi strategi dan proses pelaburan telah berjaya memastikannya mampu mencapai prestasi yang optimum.

“Kami juga akan terus memanfaatkan kekuatan kira-kira 250 anggota pelabur profesional KWSP yang komited dan proaktif dalam menguruskan portfolio pelaburan.

“Kerjasama kukuh dan infrastruktur digital yang mantap juga telah melancarkan proses penyesuaian diri kami dengan norma kerja yang baharu,” jelasnya.

Selain itu, beliau menerangkan, KWSP telah mengimbangi semula portfolio pelaburannya berdasarkan pertimbangan teliti yang menyeluruh.

Ini mengambil kira pelbagai peristiwa global seperti pandemik Covid-19, ketidakpastian pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada bulan November 2020, perang dagangan Amerika Syarikat-China yang berterusan serta kesan daripada perundingan Brexit kepada pasaran modal di seluruh dunia.

Portfolio pelaburan KWSP pada tahun 2020

Berikutan caruman yang lebih rendah pada tahun 2020, kemampuan KWSP dalam menyesuaikan diri dengan keperluan semasa telah memastikan pelaburannya dapat memberi pulangan mampan jangka panjang dalam keadaan norma baharu.

KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar tertinggi iaitu sebanyak RM60.98 bilion, yang mana RM6.15 bilion diperuntukkan kepada Simpanan Shariah.

Prestasi yang baik ini adalah hasil daripada pendekatan yang berhemah berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang telah memastikan KWSP tetap berdaya tahan walaupun menghadapi krisis yang tidak dijangka ini.

Berdasarkan kelas aset, instrumen pendapatan tetap merangkumi 46 peratus daripada pelaburan, manakala ekuiti sebanyak 42 peratus, hartanah, infrastruktur dan instrumen pasaran wang masing-masing merangkumi lima peratus dan tujuh peratus daripada pelaburan.

“KWSP ialah pelabur jangka panjang dan kekal komited dengan program diversifikasi merentasi kepelbagaian kelas aset, strategi, pengurus, pasaran, negara dan mata wang.

“Pendapatan daripada aset luar negara juga memainkan peranan penting bagi prestasi kami.” jelas beliau.

Sehingga Disember 2020, sebanyak 33 peratus daripada aset pelaburan KWSP berada di luar negara, merangkumi pelbagai kelas aset, seperti ekuiti, khususnya ekuiti asing yang terus menjadi pemacu pulangan pendapatan pelaburan sebanyak RM28.71 bilion.

Sementara itu, portfolio ekuiti persendirian menunjukkan prestasi yang kukuh dengan agihan yang konsisten.

Walaupun indeks-indeks saham utama mengalami kerugian sebanyak 40 peratus pada suku tahun pertama, KWSP mengambil peluang mengimbangi portfolio dengan membeli aset yang kukuh pada harga yang berpatutan.

Pemulihan pada separuh tahun kedua berikutan pasaran domestik dan global yang kian baik turut menyumbang kepada portfolio pelaburan KWSP.

Ini memberi peluang kepada KWSP untuk meraih keuntungan, terutamanya pada suku keempat tahun 2020.

KWSP juga mengambil langkah proaktif dengan mengambil kira turun nilai kos sebanyak RM7.71 bilion daripada ekuiti tersenarainya untuk memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat.

Ahmad Badri menjelaskan, pada tahun lalu, KWSP telah memperkenalkan beberapa kemudahan pengeluaran, iaitu i-Lestari dan i-Sinar yang memerlukan rancangan kecairan yang mantap.

KWSP telah meningkatkan alokasi kepada portfolio instrumen pasaran wang bagi memenuhi keperluan tersebut.

Portfolio instrumen pasaran wang menyumbang sebanyak RM1.19 billion kepada pendapatan KWSP.

Dengan hampir separuh daripada keseluruhan peruntukan aset KWSP dalam instrumen Pendapatan Tetap, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia & Bon Sama Taraf serta bon & pinjaman, KWSP dapat mengekalkan pulangan yang stabil dan mengambil peluang untuk meraih keuntungan apabila kadar faedah mengalami penurunan, dengan pendapatan sebanyak RM25.42 bilion, atau 42 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan kasar KWSP.

Kelas aset hartanah dan infrastruktur merekodkan pendapatan sebanyak RM5.66 bilion.

“Kelas aset tersebut berhadapan dengan cabarannya yang tersendiri, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan amalan bekerja dari rumah menjadi norma baharu dan memberi kesan kepada pendapatan yang lebih rendah daripada segmen tertentu dalam sektor hartanah,” ujarnya.

Bagaimanapun, keseluruhan portfolio tersebut terus memainkan peranan penting sebagai pelindung nilai terhadap inflasi dengan pulangan sekitar 50 mata asas melebihi instrumen Pendapatan Tetap.
Tambah beliau, aset pelaburan keseluruhan KWSP meningkat 7.9 peratus kepada RM998 bilion, dengan nilai pasaran mencecah RM1.02 trilion pada hujung tahun lalu.

Jumlah ahli KWSP turut meningkat sebanyak dua peratus kepada 14.89 juta, sementara majikan yang berdaftar dengan KWSP adalah sebanyak 534,398.

KWSP kini memerlukan RM8.25 bilion untuk membayar setiap satu peratus dividen untuk Simpanan Konvensional dan RM972 juta untuk membayar setiap satu peratus dividen untuk Simpanan Shariah bagi tahun 2020.

Respons KWSP terhadap cabaran tahun 2020 – ekonomi, pasaran, pekerjaan, Covid-19

KWSP bertindak balas terhadap pandemik Covid-19 pada tahun 2020 dengan melaksanakan beberapa langkah awal untuk membantu ahli dan majikan menangani masalah aliran tunai, berikutan PKP bermula 18 Mac hingga 12 Mei lalu ketika kebanyakan sektor ekonomi terpaksa ditutup.

KWSP merupakan salah satu dana persaraan terawal di dunia yang memberikan bantuan kepada ahlinya ketika pandemik tersebut merebak dengan melancarkan Skim Pengeluaran Akaun 2 i-Lestari untuk memberi bantuan kewangan kepada ahli.

Sehingga kini, sejumlah RM18.1 bilion telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahli di bawah kemudahan i-Lestari.

Langkah lain termasuklah membenarkan ahli mengurangkan caruman wajib mereka daripada 11 peratus kepada tujuh peratus berkuat kuasa April hingga Disember 2020.

Bagi memastikan majikan dapat menampung kos dan terus mengekalkan pekerja mereka, KWSP telah menawarkan Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP), yang ditujukan khusus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

e-CAP memberi fleksibiliti kepada PKS yang layak untuk memohon penangguhan dan penstrukturan semula caruman majikan.

Sehubungan itu, sebanyak 13,090 majikan memanfaatkan kemudahan ini dengan jumlah kumulatif RM84.95 juta.

Program ini diperkenalkan untuk membantu PKS menguruskan aliran tunai dan juga untuk memenuhi kewajipan membayar sebahagian caruman KWSP mereka.

Selain itu, untuk memastikan keselamatan pekerja dan ahli, KWSP bertindak proaktif bagi menyesuaikan diri dengan realiti baharu melalui perkhidmatan berasaskan ‘Kurangkan Sentuhan, Lebihkan Penjarakan” dengan pengenalan Janji Temu Online (JTO).

Melalui JTO, KWSP memastikan langkah-langkah penjarakan fizikal dan SOP dipatuhi dengan ketat sementara jumlah pengunjung dikurangkan di setiap cawangan.

Prospek untuk tahun 2021

Mengulas mengenai prospek tahun 2021, Ahmad Badri menjelaskan, meskipun pemberian vaksin telah dilancarkan pada tahun ini, pihaknya tetap berjaga-jaga kerana terdapatnya strain Covid-19 baharu dan lebih mudah merebak.

“Bagaimanapun, kami percaya bahawa situasi kini sudah mula terkawal dengan kerajaan setiap negara berusaha memastikan rakyat mereka mendapat vaksin selancar mungkin.

Bahkan di Malaysia juga, kelompok pertama vaksin telah pun sampai dan dalam proses pengedaran.

“KWSP sudah menjangkau usia 70 tahun dan adalah antara institusi dana persaraan tertua di dunia. Kami akan tetap memberi tumpuan kepada mandat untuk membantu ahli mencapai simpanan yang mencukupi bagi persaraan yang mampan.

“KWSP juga akan memulakan skim pengeluaran baharu untuk membolehkan ahli membeli produk insurans atau takaful, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Skim ini dijadualkan untuk dilancarkan pada akhir tahun ini. Selain itu, KWSP juga merupakan pelabur institusi pertama yang mewujudkan mandat pelaburan langsung/ pelaburan bersama ekuiti persendirian patuh syariah terbesar di dunia, dengan pelancaran Akaun Terurus Berasingan, bernilai AS$600 juta. (RM2.43 bilion).

“Ini adalah berita baik untuk dana Simpanan Shariah KWSP, yang mana baki simpanan ahli telah melepasi nilai RM100 bilion dan terus berkembang secara berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, sehingga kini, terdapat 1.12 juta ahli KWSP yang telah memilih Simpanan Shariah sejak dilancarkan pada tahun 2016 untuk memenuhi permintaan ahli agar simpanan KWSP mereka diuruskan dan dilaburkan mengikut prinsip Syariah.

“Pandemik Covid-19 ini telah memberikan satu pendedahan kepada kita semua tentang keperluan mencari solusi dalam tempoh masa yang amat singkat.

“Dalam usaha KWSP melindungi dan meningkatkan nilai simpanan persaraan ahli di sebalik turun naik pasaran dan persekitaran yang tidak menentu ini, penekanan terhadap pelaburan berlandaskan elemen alam sekitar,sosial, dan tadbir urus (ESG) akan berfungsi sebagai paksi dan kaedah mitigasi risiko yang berkesan, serta menjadi pemacu dalam menghasilkan dividen sosial yang dapat bertahan dan melangkaui pulangan kewangan.” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

The post KWSP terus lindungi simpanan ahli appeared first on Utusan Digital.