Hamidin kekal teraju FAM 2021/2025

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin sah mengekalkan jawatan tertinggi pada pucuk pimpinan badan induk bola sepak negara selepas menang tanpa bertanding menjelang Kongres FAM kali ke-57 yang akan berlangsung 13 Mac depan.

Keputusan itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM, Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said setelah mengeluarkan senarai 27 calon layak bertanding pada pemilihan bagi penggal 2021-2025.

Keputusan itu sekali gus me­nyaksikan Hamidin terus mene­rajui kerusi FAM yang disandang sejak 2018 ketika menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya sekali gus menyaksikan hanya dua calon dalam senarai, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi serta Datuk S. Sivasundaram menang secara automatik.

“Semua 20 ahli gabungan FAM telah diberi masa selama 30 hari iaitu dari 13 Januari hingga 11 Februari 2021 untuk mengemukakan senarai nama calon ma­sing-masing bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco).

“Selepas itu, jumlah calon yang diterima adalah seramai 34 orang, tetapi hanya 28 calon yang telah diberikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan memandangkan baki enam calon lain tidak mendapat jumlah pencalonan minimum.

“Selepas tarikh akhir untuk calon-calon berkenaan mengembalikan Borang Pengesahan Pe­nerimaan Pencalonan tersebut kelmarin, 27 calon telah menyatakan penerimaan mereka untuk dicalonkan bagi jawatan yang dinyatakan dan satu telah menolak pencalonan beliau.

“Proses saringan integriti turut dilakukan oleh Unit Integriti FAM membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta semakan status kebankrapan mendapati bahawa kesemua 27 calon berkenaan lulus saringan tersebut,” kata Abdullah semalam.

Persaingan sengit dijangka berlaku dalam perebutan kerusi Exco apabila keenam-enam pe­nyandang sebelum ini bakal dicabar 11 muka baharu bagi me­ngisi keseluruhan lapan kerusi yang dipertandingkan.

The post Hamidin kekal teraju FAM 2021/2025 appeared first on Kosmo Digital.