Warga emas lemas ketika memukat ikan

KUALA NERUS – Seorang pesara kerajaan maut akibat lemas selepas bot gentian kaca yang dinaikinya dipukul ombak lalu terbalik di Pantai Teluk Ketapang berhampiran Seberang Takir di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 10.15 pagi itu berlaku sewaktu mangsa, Mohd. Mahmud, 72, sedang menarik pukatnya yang penuh dengan ikan.

Adik mangsa, Harun, 63, berkata, mereka tiga beradik termasuk arwah abangnya turun ke pantai tersebut tidak jauh dari rumah masing-masing pada pukul 7.30 pagi.

Dia berkata, mereka menahan pukat kira-kira 200 meter dari tepi pantai sebelum Mohd. bersendirian mahu mengambil ikan-ikan yang berjaya ditangkap kira-kira dua jam kemudian.

“Sewaktu sedang mengutip ikan dari pukat itu, bot gentian kaca yang dinaikinya tiba-tiba tidak stabil sebelum abang saya terjatuh ke dalam laut.

“Saya kemudiannya bergegas meminjam bot gentian kaca milik nelayan lain yang kebetulan diletakkan di tepi pantai untuk membantu abang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.

Harun berkata, sewaktu diselamatkan, Mohd. berada di dalam keadaan lemah sebelum disedari abangnya sudah meninggal dunia sebaik bot fiber dinaiki kami tiba di gigi pantai. – K! ONLINE.

The post Warga emas lemas ketika memukat ikan appeared first on Kosmo Digital.