Suspek rempuh kereta ditahan polis

PETALING JAYA: Polis menahan penjenayah yang merempuh dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sierramas, Sungai Buloh, di sini semalam. 

Suspek berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.45 malam di sebuah rumah di Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pemeriksaan mendapati suspek tidak bekerja dan mempunyai 20 rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Suspek yang dikenali sebagai Bob Mah Sing yang diburu pihak polis semalam selepas melarikan diri dalam kejadian rempuhan kenderaan. 

“Kedua-dua suspek yang terbabit dalam kejadian itu akan direman hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambah Nik Ezanee, kes disiasat mengikut Seksyen 307, 427 dan 188 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

Terdahulu, tular satu video berdurasi satu minit 45 saat menunjukkan anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan itu selepas suspek enggan memberhentikan kereta.

Kenderaan jenis Proton Waja dengan nombor pendaftaran MAS 175 itu dilihat melanggar bahagian belakang lori dan sisi kereta Perodua Myvi untuk mencelah di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Polis kemudian berjaya menahan seorang daripada suspek berusia 35 tahun di sebuah kawasan perumahan di Desa Aman manakala seorang lagi suspek dikenal pasti sebagai Bob Mah Sing berjaya melarikan diri. – UTUSAN

The post Suspek rempuh kereta ditahan polis appeared first on Utusan Digital.