Sacha inchi dapat permintaan tinggi di luar negara

PASIR PUTEH – Tanaman sacha inchi atau lebih dikenali sebagai pokok kacang gunung yang boleh menghasilkan ekstrak dan minyak untuk masakan, kosmetik serta perubatan berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara terutama ke Brunei dan China.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, kerajaan negeri akan membantu individu dan koperasi yang berminat untuk mengusahakan tanaman tersebut.

Katanya, kuantiti hasil tuaian pokok sedia ada masih gagal menampung permintaan untuk dieksport ke kedua-dua negara yang mempunyai permintaan yang tinggi itu.

“Justeru, tanaman sacha inchi perlu diteroka oleh petani di negeri ini menerusi koperasi atau pertubuhan peladang untuk pelaksanaan projek penanaman berkelompok dan produk.

“Kerajaan negeri menerusi skim bantuan tanaman herba sedia membantu dari aspek penyediaan benih dan input pertanian selain memberi galakan kepada rakyat menebus guna tanah yang terbiar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penyerahan anak pokok sacha inchi oleh Koperasi Gabungan Usahawan Kelantan Berhad di Jeram Mengaji di sini hari ini.

Pokok sacha inchi atau nama saintifiknya ‘plukenetia volubilis’ turut memiliki kandungan Vitamin A dan E merupakan bahan utama penghasilan serbuk teh, kopi, minuman berkhasiat selain penghasilan sabun serta kosmetik.

Harga pasaran semasa dijual pada harga RM6 sekilogram manakala anak benihnya mencecah RM15 untuk setiap pokok.

Katanya, tanaman itu banyak ditanam secara komersil di Gua Musang oleh oleh Koperasi Gabungan Usahawan Kelantan. – K! ONLINE.

The post Sacha inchi dapat permintaan tinggi di luar negara appeared first on Kosmo Digital.