Rentas negeri, daerah bergantung penilaian risiko

PUTRAJAYA – Keputusan untuk membenarkan pergerakan merentas negeri atau daerah bergantung kepada penilaian beberapa faktor dan ia memerlukan keputusan bersama pihak kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini, tindakan kawalan kesihatan awam masih perlu diteruskan di samping memastikan program imunisasi berjalan lancar.

“Meskipun aktiviti imunisasi Covid-19 fasa satu telah mula dijalankan, segala aktiviti dan kepatuhan kepada tindakan kesihatan awam wajar diteruskan dan ini termasuk kawalan sempadan antarabangsa dan pelaksanaan pelbagai SOP.

“Selain itu, aktiviti ujian dan saringan Covid-19 sama ada saringan di lapangan, pengesanan kontak rapat, pengasingan kes yang disyaki dan dijangkiti serta lain-lain tindakan kesihatan awam oleh pelbagai agensi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, impak tindakan tersebut akan dinilai dari semasa ke semasa dan kemudiannya akan dibincangkan bersama oleh kerajaan semasa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Antara indikator utama yang digunakan dalam penilaian risiko ini adalah situasi semasa kes harian Covid-19, tren dan nilai semasa R-Naught (Rt), tren dan situasi semasa kematian Covid-19 serta situasi penggunaan katil untuk kes Covid-19.

“Seterusnya, situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 serta aktiviti ujian makmal dan survelan Covid-19 (RT-PCR dan RTK Antigen),” jelasnya. -K!ONLINE

The post Rentas negeri, daerah bergantung penilaian risiko appeared first on Kosmo Digital.