Projek pembesaran LSTIP bermula April

JELI: Projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, Kota Bharu akan bermula April depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, projek bernilai RM440 juta yang akan dikendalikan oleh syarikat WCT Bhd.

Menurutnya, komponen utama projek itu melibatkan pembinaan bangunan terminal baharu yang berkonsepkan reka dan bina dengan pengasingan balai ketibaan serta pelepasan. 

“Mengikut perancangan projek ini akan siap pada pertengahan tahun 2024,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador melaungkan masa melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli yang baharu di sini.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Mustapa memberitahu, apabila projek tersebut siap kelak bangunan terminal yang baharu mampu mengendalikan empat juta penumpang setahun. 

Katanya, projek tersebut juga melibatkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat dan jambatan udara.

“Kita akan tambah lima lagi menjadikan jumlah keseluruhannya lapan jambatan selepas ini. Selain itu, jalan keluar dan masuk ke lapangan terbang juga akan ditambah baik,” ujarnya.

LTSIP merupakan lapangan terbang domestik paling sibuk di negara ini. Pada tahun 2019, lapangan terbang ini mengendalikan 1.8 juta penumpang. 

Kapasiti LTSIP pada masa kini cuma mampu menampung 1.5 juta penumpang sahaja. -UTUSAN ONLINE

The post Projek pembesaran LSTIP bermula April appeared first on Utusan Digital.