Pfizer perlu hantar data baharu kepada NPRA

PUTRAJAYA – Syarikat pengeluar vaksin Pfizer-BioNTech perlu mengemas kini dan menghantar data baharu berhubung kelonggaran penyimpanan vaksin berkenaan pada suhu lebih tinggi iaitu – 20 darjah Celsius (°C) kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kelulusan syarat penstoran vaksin itu oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) yang secara tidak langsung memudahkan penyimpanannya dalam negara.

Bagaimanapun, katanya, syarikat pengeluar vaksin itu perlu mendapat persetujuan daripada NPRA terlebih dahulu.

“Berdasarkan syarat awal yang kami terima sebelum ini, vaksin Pfizer perlu disimpan dalam peti sejuk ultra rendah pada suhu – 75°C hingga – 80°C namun FDA memberi kelulusan yang membenarkan vaksin ini disimpan pada suhu – 20°C.

“Jika ia dapat dilaksanakan, ini akan dapat membantu dalam pengurusan logistik.

“Pfizer perlu mengemukakan data baharu kepada NPRA yang menunjukkan bahawa vaksin keluaran mereka stabil selama dua minggu jika ia disimpan pada suhu tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima bekalan vaksin Covid-19 jenis Sinovac di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) kini sedang memperhalusi perjanjian dengan Johnson & Johnson bagi menambah perolehan bekalan vaksin satu dos suntikan ke dalam portfolio vaksin Covid-19 sedia ada.

“KKM sedang meneliti kerangka terma perjanjian daripada aspek undang-undang dan sebagainya dan saya sudah meminta perkara ini dipercepatkan supaya Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dapat menandatanganinya dalam masa terdekat bagi perolehan bekalan vaksin tersebut,” katanya. -K! ONLINE.

The post Pfizer perlu hantar data baharu kepada NPRA appeared first on Kosmo Digital.