Perlembagaan memastikan keadilan untuk semua

SAUDARA PENGARANG,

PERLEMBANGAN Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi di negara ini. Kedudukan ini diperkukuhkan oleh Perkara 4(1) di mana apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas kemerdekaan negara dan tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah. Keluhuran Perlembagaan turut disenaraikan sebagai prinsip ketiga dalam Rukun Negara.

Keluhuran Perlembagaan mestilah dihormati oleh setiap warganegara kerana Perlembagaan adalah asas kepada undang-undang.

Untuk itu, beberapa kaedah dilaksanakan untuk memastikan kedaulatan undang-undang adalah adil dan saksama kepada semua pihak. Antaranya berhak menfailkan rayuan, pelaksanaan mahkamah terbuka, alasan penghakiman dapat diakses oleh masyarakat umum dan keputusan mahkamah dibuat berdasarkan undang-undang.

Demi memastikan perkara tersebut, kuasa pemerintahan dibahagikan kepada tiga cabang iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman bertujuan memastikan kesemua badan itu saling melengkapi tetapi tidak melangkaui kuasa badan lain.

Kesimpulannya, Perlembagaan Persekutuan amat mustahak dalam aspek pentadbiran dan pembangunan negara kerana dapat menjamin kestabilan, menjamin kelicinan pentadbiran kerajaan, memperuntukkan hak asasi rakyat dan memastikan taat setia rakyat yang sepenuhnya kepada negara.

LIM SAN SHIEN
Pelajar Fakulti Undang-Undang
Universiti Malaya

The post Perlembagaan memastikan keadilan untuk semua appeared first on Utusan Digital.