Penjenayah rempuh lori direman empat hari 

PETALING JAYA: Dua lelaki yang  merempuh dua kenderaan termasuk sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Sierramas, Sungai Buloh di sini semalam direman selama empat hari.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Petaling Jaya, Zhafran Rahim Hamzah kira-kira pukul 11 pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, permohonan reman itu dilakukan bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut.

“Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 307, 427 dan 188 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Semalam  tular satu video berdurasi satu minit 45 saat menunjukkan anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan itu selepas suspek enggan memberhentikan kereta.

Kenderaan Proton Waja bernombor pendaftaran MAS 175 itu dilihat melanggar bahagian belakang lori dan sisi kereta Perodua Myvi untuk mencelah di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan dalam usaha memberkas suspek sebelum mereka berjaya meloloskan diri.

Bagaimanapun, kereta suspek kemudiannya ditemukan selepas ditinggalkan di tepi jalan di Sungai Buloh.

Polis kemudian berjaya menahan seorang daripads suspek yang berusia 35 tahun di sebuah kawasan perumahan di Desa Aman hasil di sini manakala seorang lagi suspek dikenal pasti sebagai Bob Mah Sing ditahan di sebuah rumah di Shah Alam kira-kira pukul 11.45 malam tadi.

Pemeriksaan polis mendapati suspek berusia 40 tahun itu tidak bekerja dan mempunyai 20 rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. – UTUSAN ONLINE

The post Penjenayah rempuh lori direman empat hari  appeared first on Utusan Digital.