Pejuang desak segerakan sidang Parlimen

KUBANG PASU: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang Parlimen dengan segera walaupun tempoh darurat masih berkuat kuasa di negara ini.

Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, persidangan Parlimen wajib diadakan dengan mengikut tarikh asal pada 8 Mac depan.

Menurutnya, kebanyakan ahli Parlimen juga ingin membangkitkan banyak masalah berkaitan dengan rakyat pada persidangan itu.

Malah katanya, persidangan tersebut juga penting untuk membolehkan tindakan semak dan imbang dilakukan terhadap beberapa tindakan dan keputusan yang diambil oleh kerajaan sebelum ini.

“Kebanyakan negara yang mengisytiharkan darurat akibat penularan Covid-19 didapati tetap mengadakan sidang Parlimen masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan rumah kepada warga emas di Kampung Darat Mukim Temin, Changlun di sini hari ini.

Utusan Malaysia 25 Februari lalu melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Ketika ditanya adakan berlaku undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Parlimen itu nanti, Amiruddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, Pejuang tidak menolak kemungkinan akan berlaku undi tidak percaya itu selepas beberapa ahli Parlimen daripada UMNO menyatakan mereka menarik sokongan terhadap Perdana Menteri itu.

“Tindakan ahli Parlimen terbabit akan menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpotensi hilang majoriti di Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Selain itu, beliau memberitahu, Pejuang akan memfailkan saman terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di Mahkamah Kuala Lumpur kerana tidak meluluskan pendaftaran parti tersebut pada Isnin ini.

Katanya, tindakan itu diambil selepas jabatan itu tidak memberikan apa-apa maklum balas selepas rayuan penolakan pendaftaran dibuat mereka sebelum ini.

“Pejuang mempersoalkan sebab-sebab kelulusan tidak diberikan kepada pada parti itu walaupun telah memenuhi semua perkara yang telah diminta.

“Saya akan mengetuai Jawatankuasa Penaja Pejuang ke Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin ini untuk memfailkan saman terhadap kepada ROS,” katanya. – UTUSAN

The post Pejuang desak segerakan sidang Parlimen appeared first on Utusan Digital.