PDRM sambut baik pindaan kadar kompaun dinaikkan RM10,000

PETALING JAYA: Kadar kompaun sehingga RM10,000 akan dikenakan pada mana-mana individu yang masih degil melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kompaun tersebut akan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada mereka yang membuat pergerakan lintas negeri tanpa justifikasi yang sah.

Selain itu, kata beliau, kompaun boleh dikenakan kepada mereka yang didapati melakukan kesalahan yang berulang.

“Malah, kita tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun yang lebih tinggi kepada premis-premis hiburan yang tetap degil menjalankan operasi mereka meskipun amaran telah diberikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, kata Abdul Hamid, pindaan menaikkan kadar kompaun kepada nilai yang lebih tinggi oleh Pejabat Peguam Negara adalah tepat kerana ketika ini masih ramai yang ingkar dan melanggar SOP PKP,khususnya membabitkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik perkara ini dan kita akan melaksanakan penugasan dengan lebih ketat lagi,” jelasnya.

Terdahulu, portal rasmi Pejabat Peguam Negara memaklumkan, orang ramai yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac.

Kompaun sebanyak RM50,000 turut akan dikenakan bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama 

Perkara itu telah diwartakan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Sebelum ini, di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Antara kesalahan yang boleh dikenakan kompaun ialah tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, rentas daerah/negeri tanpa kebenaran dan aktiviti pusat hiburan.

Pada Januari lalu, Abdul Hamid berpendapat sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar SOP.

Susulan daripada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah turut mengesahkan bahawa draf cadangan kepada pejabat peguam negara (AGC) untuk menaikkan kompaun telah dibuat.

Perkara itu dilakukan dengan mengambil kira perkembangan semasa Covid-19 terdapat keperluan untuk meminda Akta 342 atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Ini kerana keperluan untuk meningkatkan kompaun tersebut kerana di bawah Akta 342, maksimum denda yang dikenakan ialah RM1,000 sahaja dan ia didraf pada tahun 1988. – UTUSAN

The post PDRM sambut baik pindaan kadar kompaun dinaikkan RM10,000 appeared first on Utusan Digital.