PDRM, ATM perketat kawalan sempadan

JELI: Kawalan sempadan Malaysia-Thailand akan diperketatkan dalam usaha mengekang kemasukan 15 individu yang terlibat dalam insiden letupan bom paip dan berbalas tembakan di Kampung Ra-ngae, Narathiwat, Thailand pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kumpulan lelaki itu akan cuba menyelinap masuk ke negara ini menggunakan laluan-laluan tikus yang terdapat di kawasan sempadan.

Bagaimanapun, katanya, polis akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berdepan sebarang kemungkinan tersebut menerusi Op Benteng Covid-19.

“Saya yakin dan percaya peruntukan kuasa yang diberikan kepada ATM ketika ini akan menjadikan kawalan sempadan negara menjadi lebih kukuh.

“ATM boleh melakukan tangkapan ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan kesalahan di kawasan penugasan Op Benteng Covid-19 di sempadan negara ini,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed turun padang meninjau perkembangan terkini pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Akhbar Thailand pada Jumaat lalu melaporkan dua anggota renjer maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera parah dalam letupan bom paip dan insiden berbalas tembakan di kampung di Ra-ngae, Narathiwat yang terletak di selatan Thailand.

Dalam kejadian pada 6.50 pagi (waktu tempatan) itu, 16 anggota renjer yang sedang berehat di dalam khemah selepas melakukan rondaan di kawasan tersebut dikejutkan dengan beberapa letupan.

Sekumpulan individu kemudian mula melontarkan bom paip buatan sendiri dan melepaskan tembakan ke arah khemah itu.

Insiden berbalas tembakan antara renjer dan kumpulan penyerang berlanjutan kira-kira lima minit sebelum kumpulan penyerang beredar dari tempat kejadian.

Seorang renjer meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Namun, dua lagi renjer yang cedera parah telah dikejarkan ke Hospital Ra-ngae untuk rawatan lanjut. -UTUSAN ONLINE

The post PDRM, ATM perketat kawalan sempadan appeared first on Utusan Digital.